Aku berusia 28 tahun, dan ayahku baru mengajarku cara membuat kopi. Lengannya sudah semakin kurus, dan jarinya sudah semakin kering. Tetapi semangatnya masih seperti dahulu, dalam rencananya pada hari itu untuk menunjukkan kepadaku cara menggunakan mesin kopi yang sudah lebih tua dari usiaku itu. Kopi 3 in 1 lebih sedap dari 2 in 1 katanya, dan kami sama2 bersetuju tanpa memahami apa perbezaan kopi-kopi itu dahulu.
Seterusnya pagi itu aku nikmati dengan kopi 'o panas, mengabusi cermin mataku sedang aku dicurahi cahaya matahari yang kuning. Pokok mempelam ayahku melambai2, seiring dengan tiupan angin yang menghembus bersama dengan bau rumahku. Bau yang sudah aku kenali sejak sekian lama. Bau inilah yang melonggarkan ketegangan jiwaku setiap kali aku pulang setelah terlalu lama aku berdiri sendiri.
Sepanjang aku berada di sini, aku diceritakan tentang kisah-kisah silam. Kisah-kisah yang tidak mahu dilupakan, lalu diturunkan kepada anak-anak agar boleh dijadikan teladan suatu masa kelak. Kisah-kisah pekerjaan, keluarga dan persahabatan. Sebetulnya dalam mendengar semua cerita itu aku tenggelam dalam diriku sendiri. Adakah sedikit pun sifat-sifat mereka ini yang terpalit dalam cara hidupku? Seterusnya aku pun mula takut, takut yang aku akan lupakan kisah-kisah mereka, dan dalam kecacatanku sendiri, mereka akan hilang jika aku pergi terlalu lama.
Maafkan aku, aku bukan anak yang sempurna. Kadang-kadang aku terlalai dan terlupa, dalam kekerasanku mengejar cita-citaku sendiri. Aku sudah terlupa kisah selamat tinggal terakhir dengan opahku, dan mereka yang mengingatkanku. Bagaimana opahku bersungguh-sungguh mencariku dari dalam kereta untuk bersalaman. Dalam sakitnya dia, dalam tekaknya yang rosak dari kimoterapi, dia tidak lupa kepada cucunya, dan memanggil nama kami walau tanpa ada suara yang keluar.
Maafkan aku jika suatu hari nanti aku terlupa. Aku bersumpah, kalianlah manusia yang terbaik dalam hidupku. Dengan sabarnya mendidikku, membentukku, tanpa merintihkan kesetiaanku. Kalianlah yang mengikatku pada bumi, yang mengingatkanku bahawa aku ada tempat dalam dunia, yang merawatku ketika sakit, yang menenangkanku dalam tangisan, yang sentiasa mengingati aku dahulu dari diri kalian sendiri. Akan kubawa cerita-cerita kita kepada penghuni-penghuni baru rumahku kelak. Agar mereka dididik sepertiku, dan dibentuk sepertiku, agar kalian akan berbangga, dan penat lelah kalian tidak sia-sia.