Pukul 7 petang, dan Kuala Lumpur berbau masam. Wajah-wajah yang diam, tunduk, teliti memilih lagu-lagu senja untuk menemani perjalanan pulang.
Sunyi di bandar bunyinya lain. Bukan seperti di kampung, bila sunyi, maka bunyinya sepi. Di bandar, sunyinya berlagu dan berbau. Lagu-lagu kasar, datang dari mesin-mesin besar yang menjantungi bandar. Bau-bau minyak dan keringat insan pula menghiasi kesunyian tadi.
Dalam kesibukan itu, ada suatu wajah tua yang tersenyum. Asing sekali senyumannya dari wajah-wajah lain dalam gerabak itu. Ahh, mungkin dia datang dari kampung, mahu mencari anaknya di sini, perkara biasa. Pada tangannya ada beg besar yang berat. Pada tubuhnya terselit kegigihan orang lama. Berdirinya bongkok, mungkin kerana tulang-tulangnya sudah berusia.
Ketika itu aku sedar. Dalam keghairahan sebuah bandar yang sibuk, penuh dengan jiwa yang mengejar cita-cita. Semua orang terlupa, bahawa tiada jiwa yang lebih penting dari jiwa yang lain. Tiada orang yang lebih berhak dari orang yang lain.
Sepanjang 3 stesen orang tua itu berdiri, tiada seorang pun yang bangun untuk beliau duduk. Orang-orang yang sibuk, yang berucap pada cermin, "Aku mahu mengubah dunia!" sudah gagal ujian pertama. Mereka telah melebihkan jiwa mereka sendiri. Mengabaikan jiwa yang tua, yang mungkin sudah terbatas waktunya untuk berbakti pada dunia.
Lalu sedarlah aku, masyarakat ini lahir dari cita-cita yang singkat. Asalnya semua dari kata-kata yang nista dan dusta. Dilemparkan pada cermin, dan terpantul pada muka-muka sendiri.
They have become their own gods. Changing the world into a nameless wasteland. Indulging in their self-importance, forgetting the dream, not bothering for repentance.
No comments:
Post a Comment