Friday, June 2, 2017

Kewujudan sempadan itu bukan sebagai penghalang, tapi sebagai pemisah. Agar pemerhati boleh kekal memerhati, dan yang diperhati dilindungi dari hipokrasi.

Keindahan itu engkau bawa, dari sudut2 aneh yang tidak difahami oleh seluruh dunia.
Mungkin juga hanya duniaku yang terlalu kecil,
Untuk memahami keasingan yang engkau bawa,
Keasingan yang kau rasakan biasa,
Dalam duniamu yang luas,
Luar biasa.

Dan daripada itu sempadan yang melemaskan aku kian menghilang,
Melepaskan hatiku dari belenggu-belenggu dunia yang kecil,
Walaupun hanya seketika,
Tapi engkau yang berada di luar sempadan duniaku,
Tidak tercapai oleh akal dan jemariku,
Tanpa kata-kata,
Tanpa pertembungan mata,
Telah menyentuh bahagian jiwaku yang paling dalam,
Dan mengajar aku untuk bernafas,
Dalam kelemasan yang aku cipta sendiri,

Dan aku mula faham,
Bahawa tiap-tiap yang indah itu berlainan bagi setiap insan,
Tetapi kesannya tetap sama,
Bagai orang lemas menarik nafas pertama.

No comments:

Post a Comment